Perbuatan didakwa bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Habib Umar Hafiz (dua dari kiri) bersama-sama pendakwah Indonesia, Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari (tiga dari kiri) dalam satu majlis.
KUALA LUMPUR 25 Mei – Beberapa pendakwah ulama yang bebas keluar masuk bagi menjalankan kegiatan di negara ini didakwa melakukan pelbagai perbuatan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Satu sumber memberitahu, apa yang membimbangkan mereka ‘menyusup’ masuk secara lembut dengan menyertai program-program keagamaan seperti qasidah dan zikir. Selain itu, mereka juga dijemput menghadiri majlis-majlis peribadi yang membuka ruang bagi membolehkan sesuatu tarekat bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) disebarkan.
“Salah seorang ulama luar yang menjadi perhatian ialah Sheikh Muhammad Hisham Kabbani. Beliau merupakan anak murid Sheikh Nazim Al-Haqqani, pengasas Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2000. Sheikh Muhammad Hisham disahkan mengambil alih kepemimpinan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah daripada Sheikh Nazim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia berhubung ancaman tarekat baharu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi mempunyai hubungan rapat dengan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah.
Sumber itu berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengharamkan tarekat itu kerana ia bertentangan dengan fahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Antara perkara yang mereka lakukan ialah pemujaan melampau terhadap Rasulullah SAW dengan mendakwa baginda hadir di majlis sambutan maulid mereka. Sheikh Muhammad Hisham pula pernah melakukan ritual dan doa di kubur serta mencium kubur tersebut. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan tarekat ini mirip dengan ajaran Syiah,’’ katanya.
Seorang lagi pendakwah luar yang turut mendapat perhatian ialah Habib Umar Hafiz yang pernah diundang menghadiri program selawat perdana di Putrajaya, Mei lalu. Bagaimanapun beliau tidak hadir.
Habib Umar didakwa ulama keturunan Rasulullah SAW seperti mana tertera dalam bukunya berjudul, Biografi Habib Umar bin Hafiz – Singa Podium.
Satu sumber memberitahu, terdapat rakaman video yang menunjukkan Habib Umar melakukan aksi meragukan berkaitan Rasulullah SAW ketika menghadiri satu majlis di Yemen.
“Selain itu buku tersebut mewujudkan pemujaan melampau kepada Habib Umar seperti mana keterangan gambarnya yang antara lain ditulis, ‘Peribadi beliau merupakan hadiah terbesar bagi muslimin saat ini’ dan ‘..hati menjadi tenang bila sesiapa yang memandang wajahnya’,” kata sumber tersebut.
Sumber itu seterusnya berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan bagi membanteras penularan tarekat tersebut kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Ini memandangkan jika pengikut mereka semakin ramai dan kuat, ia akan menyebabkan wujud ketaksuban kepada pemimpin mereka. Penguatkuasaan hendaklah dilakukan segera melalui cara mencegah sebarang program yang dilihat mampu meluaskan pengaruhnya,” katanya.
Tegas sumber itu lagi, adalah lebih baik jika pendakwah-pendakwah berkenaan tidak dibenarkan masuk ke negara ini kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Kita perlu tegas dalam soal tersebut kerana apa yang dinyatakan bukanlah berdasarkan tuduhan semata-mata tetapi berpandukan kepada bukti-bukti yang dimiliki,” katanya.