Hilang majoriti: Muhyiddin harus segera mengadap Agong – Elakkan Masa Depan Negara Daripada Muflis.

Apabila Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermakna ketika ini jumlah ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin dan Kerajaan PN hanya ada 110 orang sahaja.

2. Dalam keadaan ini Perdana Menteri Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat dan Kerajaan PN tumbang.

3. Berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Dewan Rakyat ada 222 orang yang dipilih melalui pilihanraya. Dua orang Ahli Parlimen telah meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Ahli Parlimen Gerik di Perak. Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat bagi penggal parlimen ke-14 tinggal 220 orang.Jumlah sokongan 110 sahaja yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sekarang, menjadikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN pimpinannya tidak ada majoriti di Dewan Rakyat.

4. Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin Yassin pada 1hb Mac 2020 sebagai Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu bahawa pada hemat Baginda Ahli Parlimen Pagoh itu mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

5. Sepanjang 10 bulan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Kerajaan PN, beliau telah mengelak dan menafikan pembentangan usul tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. Malah usul percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri yang dibawa oleh ahli parlimen kerajaan juga tidak diberi peluang dibentangkan.

6. Perkara yang paling hampir yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ialah melalui pengundian semasa pembentangan Belanjawan Tahun 2021 di Dewan Rakyat. Undi yang paling tinggi dicapai oleh Kerajaan PN yang menyokong Belanjawan tersebut diperolehi pada 15hb, Disember 2020 semasa pengundian belah bagi bacaan ketiga Belanjawaan 2021 tersebut. Kerajaan PN mendapat 111 undi manakala pembangkang mendapat 108 undi. 111 undi yang diperolehi oleh Kerajaan PN ketika itu adalah termasuk sokongan dari Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan.

7. Kini Ahli Parlimen Machang itu telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan juga Kerajaan PN. Dalam keadaan ini, elok kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sekali lagi. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

8. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah jelas. Maka saya selaku salah seorang ahli Dewan Rakyat menyeru kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mematuhi peruntukan undang-undang tubuh negara kita ini, Perlembagaan Persekutuan, iaitu dengan segera mendapatkan perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, dengan seberapa segera. Yang Berhormat Ahli Parlimen Pagoh semasa mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia telah berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Inilah masanya untuk membuktikan ikrar dan sumpah jawatan tersebut.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Bertarikh Ahad 10 Januari 2021.

Sumber: https://shahbudindotcom.net/2021/01/10/hilang-majoriti-muhyiddin-harus-segera-mengadap-agong.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s