Sultan dukacita wanita Islam dikatakan kahwin ikut upacara Sikh

Malaysiakini

Dikemas kini dengan laporan penuh.

Sultan Johor menitahkan supaya pihak berkuasa agama memastikan kesahihan berita berkaitan perkahwinan seorang wanita negeri itu dengan pemain hoki India yang dikatakan dijalankan mengikut upacara agama lain.

“Saya berasa dukacita apabila terdapat berita yang bertebaran di media berkaitan seorang wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan yang tidak berdasarkan hukum syarak di India,” titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam kenyataan media hari ini, baginda menitahkan supaya pengesahan dibuat melalui anggota keluarga dan kedutaan Malaysia di India.

Baginda percaya kesahihannya akan dapat dikenal pasti dalam masa terdekat.

Menjawab soalan media, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari semalam berkata pihaknya akan memanggil wanita itu apabila kembali ke Malaysia.

Ahmad Marzuk Shaari (Lembab).

Katanya, setakat semalam, kerajaan masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) berhubung status agama wanita berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal, katanya, lelaki itu sudah memeluk Islam, walaupun tiada permohonan wanita untuk berkahwin di luar negara dibuat.

Terdahulu, satu video majlis perkahwinan yang didakwa dilakukan mengikut upacara agama Sikh berlangsung di India itu juga turut tular di media sosial.

Baginda bagaimanapun menasihatkan semua pihak untuk tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pramatang dalam menangani berita itu.

“Wanita itu sedang melalui suatu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan beliau ingin keluar dari agama Islam.

“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau, maka kita akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan beliau di India,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan wanita itu supaya mengambil kira restu ibu bapa dan tidak melanggar norma-norma Islam dalam sesuatu tindakan.

“Saya berkeyakinan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidah wanita ini dalam lingkungan syariat Islam,” kata baginda.

Sultan Johor juga menasihatkan sesuatu berita yang diterima diteliti terlebih dahulu tanpa berprasangka buruk.

“Kita perlu berlapang dada dan bersangka baik. Kita juga perlu dan mengambil tindakan meneliti akan berita tersebut daripada sumber yang pasti dan tepat,” kata baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa isu itu hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan apatah lagi ianya melibatkan hubungan antara agama, kaum malahan dua negara.

“Umat Islam khususnya di Negeri Johor Darul Ta’zim perlu menzahirkan keindahan Islam melalui akhlak dan tindakannya.

“Marilah sama-sama kita merafakkan doa ke hadrat Allah SWT agar wanita tersebut dan pasangannya sentiasa dalam peliharaan Allah jua dan diberikan petunjuk untuk menyelesaikan isu ini dengan cahaya keimanan dan hidayah Allah SWT,” kata baginda.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas wanita itu dan pasangannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s