Beri peluang Mahathir tebus balik kuasa yang dirampas

 

Beri peluang Mahathir tebus balik kuasa yang dirampas

Beri peluang Mahathir tebus balik kuasa yang dirampas

Hampir tiga minggu lalu saya menulis menyinggung usul tidak percaya kepada perdana menteri yang bakal dikemukakan di Dewan Rakyat dan meluahkan rasa jelik dengan permainan kuasa ahli-ahli parlimen sehingga meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Langkah pengkhianatan kumpulan Azmin Ali bersama pembelotan majoriti wakil rakyat Bersatu mendorong Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan ketua kerajaan dan membuka luas episod rampasan kuasa yang menafikan sama sekali mandat rakyat dalam PRU14.

Ramai terkejut tindakan nekad Mahathir itu. “Mungkin dia merajuk kot, selepas partinya, Bersatu, keluar PH, atau mungkin strategi untuk kukuhkan lagi cengkamannya,” kata seorang penganalisis, yang kemudiannya merumuskan langkah Mahathir itu “makan tuan”. Banyak pihak menyifatkan aksi Mahathir tanpa berunding dengan rakan-rakan pemimpin kanan PH itu “menikam dirinya” sendiri, juga petanda hubungannya selama ini dengan PKR, DAP dan AMANAH seperti “bermasalah dan dibayangi syak-wasangka”.

Mengikuti penuh debar proses pemilihan perdana menteri baharu, dengan tumpuan terfokus di Istana Negara, dan pasaran berita dilambakkan pelbagai gosip mengenai senarai sokongan yang dikemukakan kepada baginda Agong, saya kelesuan seorang diri. Kebetulan ketika hujung minggu itu saya berehat panjang di sebuah hotel di Bangi selepas jalani rutin dialisis.

Terlalu penat menyaring info yang bertubi-tubi masuk. Lebih nyaman ketika menanti pengumuman keputusan PRU14, malam 9 Mei 2018 meskipun dilambung ombak harap-cemas. Akhirnya saya pasrah, menutup gajet, setelah menyedari “kebodohan” terperangkap dengan permainan kuasa kelompok oportunis elit politik yang licik memperdagangkan sokongan rakyat. Terasa membazirkan masa dan mendedahkan diri kepada risiko serangan jantung sekali lagi hanya kerana ghairah mendapatkan perkembangan terkini politik yang sia-sia itu!

Memilih perdana menteri baharu bermakna harus sedia menerima anggota jemaah menteri yang berbeda, seterusnya perubahan di peringkat negeri, juga struktur di lapisan majlis daerah dan perbandaran, serta komuniti di bawah, dan rombakan besar-besaran pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan dan agensi-agensi.

Dalam sekelip mata, segalanya bertukar dan berubah, tanpa didahului proses pilihan raya dan tawaran manifesto. Tiba-tiba sahaja gabungan parti yang menang bertukar posisi, daripada pemerintah kepada pembangkang, dan pihak yang kalah pilihan raya 9 Mei 2018 merampas kuasa secara licik. Apa perasaan pengundi yang beratur di tengah panas, mengambil cuti untuk pulang dari luar negara di pertengahan minggu? Sia-sia sahaja bertungkus-lumus menjelajah berkempen bagi menamatkan regim kleptokrasi jika akhirnya elit politik “kuno” juga menguasai Putrajaya.

Sesungguhnya, akhir Februari itu cukup meletihkan. Kita — rakyat — tidak mampu berbuat apa-apa lagi, hanya menanti bagai menunggu hukuman mati. Kita hanya penonton pasif dan bisu, sesekali bertepuk atau menggeleng kepala. Sedangkan mereka yang dimartabatkan dengan undi rakyat sibuk bergentayangan menyusun sifir politik mengatur posisi strategik menelan habuan. Masa depan negara sedang dipertaruhkan oleh segelintir elit politik oportunis. Senarai sokongan berubah-ubah, mungkin selepas melalui proses tawar-menawar, lobi dan rundingan yang intensif.

Kita sebenarnya terseksa menonton permainan kuasa itu apabila ada ahli-ahli parlimen, tanpa menghiraukan amanah rakyat, mencaturkan keuntungan peribadi dan kroni. Rakyat tiada kena-mengena dengan manipulasi ini. Mereka diperlakukan bagai tunggul-tunggul kayu. Rakyat sudah menunaikan tanggungjawab, Mei 2018, dan mereka menjalankannya dengzan berani dan bijaksana. Mereka langsung tidak boleh dipersalahkan dengan episod pengkhianatan ini. Soalnya, apakah yang boleh rakyat lakukan sebagai respons terhadap aksi pembelotan ini? Bagaimana mereka boleh salurkan, sekurang-kurangnya rasa amarah, kepada wakil rakyat, misalnya di kawasan parlimen saya, Ampang dan jirannya, Gombak?

Meskipun saya kurang berminat untuk menghalusi sepak-terajang atau taktik merebut kembali kuasa yang dirampas, melalui sidang Parlimen terdekat mengenangkan sikap politik wakil rakyat tertentu yang tamak dan khianat, hati kecil saya tetap berbisik: “Mahathir mesti melunasi persoalan besar yang dimulakan oleh beliau sendiri. Dia tidak sewajarnya sama sekali letak jawatan. Selepas itu, kesilapan berganda apabila PH tidak menyokong Mahathir sebagai calon PM, dengan menghantar nama Anwar Ibrahim, mengakibatkan tiada siapa pun dapat sokongan majoriti.”

Bagi saya, perdana menteri dilantik oleh Agong dan hanya boleh dijatuhkan di Parlimen. Mahathir tidak perlu letak jawatan meskipun khabarnya sudah hilang kepercayaan majoriti. Lagipun, jika Bersatu sudah keluar daripada gabungan PH, tidak bermakna secara automatik Mahathir patut berundur. Ia harus dirujuk sidang Dewan Rakyat. Biarlah polemik ini berlalu atau terus diperdebatkan. Di hadapan kita tersaji permainan kuasa seterusnya, terhad kepada 222 wakil rakyat, mempertaruhkan taktik masing-masing. Politikus tidak pernah kenal mengaku kalah.

Mahathir sendiri mengakui, biarpun beliau yakin mendapat sokongan majoriti sebelum Agong membuat keputusan tempoh hari, kini selepas lebih dua bulan Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri, sokongan itu berkurang. Penyokong Mahathir turut “dibeli”.

“Hari ini kita dapati kedudukan telah bertukar kerana Muhyiddin telah memberi jawatan tertentu kepada penyokong saya. Jadi dengan ini, maka jumlah penyokong saya sudah berkurangan. Mungkin kita akan kalah (usul undi tidak percaya) kerana apa yang dilakukan sebagai satu sogokan kerana mereka ini diberi jawatan menteri, timbalan menteri dan sebagainya supaya mereka memihak kepada Muhyiddin,” kata Mahathir dalam satu rakaman video semalam.

Justeru, saya boleh bersetuju dengan pandangan yang mencadangkan Mahathir terus mengetuai pembangkang untuk mengembalikan PH ke tampuk kuasa. Biar beliau membereskan agenda penting itu, yang sebenarnya dimulakan olehnya sendiri, dengan meletakkan jawatan pada 24 Feb lalu. Dan diakui Mahathir mempunyai kelebihan tersendiri, untuk mengumpulkan sokongan yang cukup, termasuk dari Sabah dan mungkin juga Sarawak. Diharap pergeseran antara Mahathir dan Anwar boleh ditangani secara bijaksana. Ambillah iktibar daripada konflik peralihan kuasa. Ini bukannya isu persiapan PRU15 tetapi khusus mengenai usaha merebut balik pemerintahan yang terlepas itu.

Saya turut lega apabila membaca kenyataan bersama Mahathir-Anwar sempena ulangtahun kedua kemenangan PH: “Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun: semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi. Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat Rakyat ke pihak yang sepatutnya. Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei 2018.”

Rakyat terbukti berani dan bijaksana menggunakan kuasa undi mereka dua tahun lalu. Sebarang isu yang timbul kemudiannya, sehingga meruntuhkan kerajaan tiada sangkut-paut dengan pengundi lagi. Ia merupakan masalah kepimpinan, maka kelompok yang menguasai teraju koalisi itulah yang bertanggungjawab sepenuhnya.

Secara peribadi, saya tidak menaruh harapan besar dengan percaturan elit politik kali ini; lagipun sidang Parlimen dibataskan banyak kongkongan. Malah, hati saya berbisik, biarkan sahaja pakatan rapuh Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir, sambil bercakaran sesama tiga parti Melayu itu. Rakyat lebih mudah membuat perbandingan dengan pengalaman 22 bulan PH memerintah. Menilai komitmen politik pembaharuan dengan retorik perkauman-keagamaan sempit dan menyaksikan warisan tinggalan regim BN dihidupkan semula. Biar rakyat menjadi saksi mata Muhyiddin memperaga gaya kepimpinan tersendiri, khususnya sibuk membeli sokongan dengan sogokan mengagihkan jawatan berimbuhan lumayan.

Lebih penting, memberi peluang, mungkin kali terakhir, buat Mahathir menebus semula “kesilapan paling besar dalam kerjaya politiknya”.

Beri peluang Mahathir tebus balik kuasa yang dirampas

KENYATAAN MCA BERKAITAN HUDUD MENGHINA YDPA SEBAGAI KETUA TERTINGGI DALAM AGAMA ISLAM ?

https://partiamanahmalaysia.wordpress.com/2020/05/10/kenyataan-mca-berkaitan-hudud-menghina-ydpa-sebagai-ketua-tertinggi-dalam-agama-islam/

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s