MP BN, PKR berjumpa di rumah Azmin malam ini

Sekumpulan ahli parlimen BN malam ini berkumpul di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya.

Perjumpaan itu bermula pada sekitar pukul 9.30 malam dan berlangsung selama dua jam.

Ahli parlimen BN mengunci mulut berhubung tujuan lawatan mereka ke banglo yang terletak di tepi Tasik Putrajaya itu.

Selain ahli parlimen BN, ahli parlimen PKR turut hadir.

Sumber berkata sekurang-kurangnya 22 ahli parlimen BN dan lima ahli parlimen PKR hadir perjumpaan itu.

Wartawan Malaysiakini yang tiba di lokasi mengesahkan melihat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak).

Ketika ditemui, Zuraida sekadar melambai kepada wartawan tanpa memberi sebarang ulasan. Ahli Parlimen BN yang lain yang meninggalkan kawasan itu turut enggan memberi ulasan.

Salah seorang ahli parlimen BN dilihat berjalan keluar dari kawasan itu ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands BN Ramli Mohd Nor.

Apabila ditanya mengenai pertemuan itu, dia hanya berkata: “Tak ada apa. Saya datang sebab rumah saya dekat saja.”

Malaysiakini juga melihat kenderaan Ahli Parlimen Umno Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abd Muttalib (Maran).

Ismail, yang ditemui pula sekadar berkata: “Ia(isi perjumpaan) hanya antara ahli parlimen dan menteri”.

Van katering merupakan kenderaan terakhir meninggalkan kawasan kediaman itu pada tengah malam ini.

Azmin melihat wartawan berkumpul di luar rumahnya tetapi tidak bertemu dengan mereka dan sebaliknya terus masuk dalam rumah.

Perjumpaan antara Azmin dan pemimpin BN ini berlangsung dua hari selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Beberapa pemimpin PH menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas kekalahan itu dan mencadangkan agar beliau menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Azmin hari ini tampil menyokong Dr Mahathir dan menyeru pemimpin serta ahli-ahli parti PH untuk bersamanya.

PKR ketika ini dilihat terpecah antara kem Azmin dan kem Anwar.

Pergeseran antara penyokong Azmin dan penyokong Anwar diteruskan lagi dengan isu terbaru berhubung pembatalan jemputan buat timbalan presiden PKR itu untuk merasmikan kongres Pemuda PKR (AMK).

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan Azmin bekerjasama dengan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, yang juga Ahli Parlimen Sembrong, untuk mengumpul sokongan ahli parlimen bagi menyekat Anwar.

Perkembangan terbaru ini hadir ketika Dr Mahathir terus berteka-teki berhubung tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

No photo description available.

 

https://www.malaysiakini.com/news/500328?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR3YXHFGikgbutzNZi9kwH6gIGjTDMZh7ZiTGdL-uPsjoZo-k1uopcfeedE

Hisham: Bukan saya rancang pertemuan MP BN dengan Azmin

Bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan bahawa beliau merancang pertemuan antara anggota parlimen pembangkang dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Putrajaya malam tadi.

“Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin Ali dan Ahli Parlimen pembangkang semalam tidak benar sama sekali.

“Bukan saya yang rancang pertemuan tersebut. Namun, jika lembaga disiplin Umno nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya menerusi laman Twitter.

Hishammuddin mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam untuk membuat laporan dengan Lembaga Disiplin selepas berita pertemuan itu tersebar.

Malam tadi sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima daripada PKR  dilapor berada di kediaman rasmi Azmin di Presint 10, Putrajaya.

Lokman mendakwa Hishammuddin sebelum ini bertindak sebagai “orang tengah” untuk membawa masuk anggota parlimen Umno bagi menyertai Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata lembaga itu menjangka menerima aduan mengenai pertemuan berkenaan.

“Lembaga Disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.

“Perlu ditegaskan Lembaga Displin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa-kuasa tertentu di bawah perlembagaan Umno dan akan menjalankan tanggungjawab secara tegas, jujur dan saksama “Without Fear or favour”,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/500360?fbclid=IwAR2Y5XbH-wi0vspbDwEgIkhKXCVYGJsjUdEKHzW3KF7usD7JyYZkLvcO6Ag

Najib arah Gani Patail dipecat

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat dan tidak dibenarkan membawa sebarang dokumen keluar daripada pejabatnya.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ali memberi keterangan dalam kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Sri Ram membangkitkan isu Gani yang diarahkan mengosongkan jawatannya pada Julai 2015 dan berhubung pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SRI RAM: Pada 24 Februari 2016, siapa Peguam Negara yang menghadiri mesyuarat yang diarahkan oleh Najib berhubung isu Laporan Audit 1MDB.

ALI: Tan Sri Mohamed Apandi Ali

SRI RAM: Siapa Peguam Negara sebelum beliau?

ALI: Tan Sri Abdul Gani Patail

SRI RAM: Boleh beritahu mahkamah dalam ayat anda sendiri, kenapa Gani ‘meninggalkan’ pejabat beliau?

ALI: Hilang kepercayaan kepada Gani.

SRI RAM: Kenapa hilang kepercayaan?

ALI: Apabila saya menyerahkan surat itu kepada Gani, memaklumkan kepadanya bahawa beliau dilepaskan daripada jawatan Peguam Negara, Gani berkata sudah tahu perkara ini akan berlaku. Ada dua surat, Najib menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong manakala saya menyerahkan kepada Gani.

SRI RAM: Kenapa kamu menjadi ‘bearer of bad news’ (penyampai berita buruk)?

ALI: Ia adalah kerana saya yang menandatangani surat itu, saya menyerahkan kepada Gani dan memaklumkan supaya tidak membawa keluar sebarang dokumen daripada pejabat.

SRI RAM: Adakah anda tahu apa yang membawa kepada hilang kepercayaan ini?

ALI: Pada masa itu, Kabinet kecoh dengan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya dimaklumkan oleh Najib dan beberapa individu lain bahawa secara kebetulan beliau (Muhyiddin) ada bertemu Gani di sebuah kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur.

SRI RAM: Kamu tahu mengenai kenapa?

ALI: Beliau (Muhyiddin) paling banyak mempersoalkan isu 1MDB.

SRI RAM: Kamu tahu apa berlaku pada Muhyiddin?

ALI: Beliau dilepaskan dari jawatannya ketika itu.

SRI RAM: Kamu tahu kenapa beliau dipecat?

ALI: (Mendiamkan diri)

SRI RAM: Kamu adalah Ketua Setiausaha kepada Kabinet, kepada negara, kepada kerajaan. Kamu juga memberi keterangan bahawa Muhyiddin banyak bertanya soalan berhubung 1MDB dalam Kabinet. Kamu juga baru memberitahu mahkamah bahawa beliau (Muhyiddin) dibuang dari Jabatan Perdana Menteri, fakta berhubung pembuangan itu, adakah ia dalam pengetahuan kamu?

ALI: Ia tiada dalam pengetahuan saya kerana ia adalah prerogatif Perdana Menteri. Bila kami duduk dalam mesyuarat Kabinet, kami lihat perbalahan yang berlaku, selalunya hanya sebelah pihak, Muhyiddin mempersoalkan berhubung 1MDB, kami tahu sesuatu akan berlaku?

SRI RAM: Ada sesuatu berlaku?

ALI: Ya, beliau dipecat.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

https://www.malaysiakini.com/news/500338?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR0TTPXlDB7vC3MoR07w_XeEWf3myRHF505mS9IR7dkdQrX1uW68r98fV54

Lokman dakwa Hisham ketuai pertemuan MP di rumah Azmin

Anggota majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Putrajaya malam tadi.

Beliau berkata, Hishamuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari lalu.

“Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN ke rumah menteri ‘semburit’ Azmin Ali di Presint 8, Putrajaya?

“Walaupun bukan semua 22 MP ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” kata Lokman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi, kira-kira sejam selepas pertemuan itu diadakan.

Sumber berkata sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima anggota parlimen PKR hadir pada pertemua itu,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar, antara anggota parlimen PKR yang dilihat turut berada di kediaman Azmin malam tadi.

Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menggerakkan sokongan anggota parlimen terhadap Mahathir dan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada mengantikannya sebagai perdana menteri.

Tekanan terhadap Mahathir meningkat berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lepas, di mana beberapa pemimpin gabungan itu menyalahkan perdana menteri.

Bagaimanapun, Azmin secara tegas mempertahankan Mahathir.

Gesa Umno ambil tindakan tegas 

Lokman, dalam kenyataannya, mendakwa Hishammuddin bertindak sebagai “orang tengah” bagi Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu.

“Sebelum ini Hisham bermaharaja menjadi orang tengah Tun Mahathir untuk membawa masuk pimpinan dan MP Umno ke PPBM (Bersatu) tanpa sebarang tindakan disiplin daripada pimpinan Umno.

“Setiap kali bila diajukan soalan kenapa beliau menghasut MP Umno untuk menyertai PPBM, beliau kerap memberi alasan beliau mengepung MP-MP BN bagi mengelakkan mereka menyertai PPBM,” katanya.

Lokman berkata beliau telah membuat aduan disiplin terhadap Hishammuddin pada 30 Okt lalu.

“Saya mengesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan MP Umno untuk menyokong kepimpinan Mahathir, mahupun Azmin, sekali gus menghampakan harapan rakyat untuk melihat parlimen dibubarkan.

“Tindakan Hisham bertentangan dengan keputusan MT Umno yang sudah pun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

” Saya berharap tiada pihak mempertahankan pengkhianatan yang dilakukann oleh Hishammuddin ini. Parti perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/500338?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR0TTPXlDB7vC3MoR07w_XeEWf3myRHF505mS9IR7dkdQrX1uW68r98fV54

Mahkamah Persekutuan memutuskan Pua boleh saman Najib atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam

Tony Pua (File pix)

PUTRAJAYA, 19 Nov — Mahkamah Persekutuan, dalam membuat keputusan penting, memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan panel tujuh hakim mahkamah itu berkata perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam mengikut Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata pada peringkat ini, dakwaan prima facie oleh ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam mengandungi elemen yang perlu untuk mengemukakan dakwaan yang sah.

“Tony Pua boleh meneruskan dakwaannya terhadap Najib Razak dan Kerajaan Malaysia dengan cara perbicaraan di mahkamah sivil,” katanya.

Bagaimanapun, sama ada atau tidak Pua boleh berjaya dalam perbicaraan akan membabitkan persoalan keterangan berkaitan dengan kemusnahan yang didakwa dideritainya, kata Hakim Nallini.

Panel tujuh hakim itu yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan Pua untuk mengembalikan semula samannya terhadap Najib dan kerajaan yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.

Hakim yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin (yang baru bersara).

Hakim Tengku Maimun merujuk semula perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan dan menetapkan 26 Nov untuk sebutan.

Beliau memerintahkan Najib membayar RM30,000 sebagai kos kepada Pua tetapi tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Dalam keputusannya, Hakim Nallini berkata tidak dinyatakan dalam perundangan sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Tafsiran untuk membatalkan definisi ‘common law’ bagi terma “pegawai awam”.

Beliau berkata tiada undang-undang bertulis spesifik yang dikuatkuasakan di Malaysia yang meminda dan menggantikan salah guna jawatan awam dalam ‘common law tort’.

Hakim Nallini juga berkata salah guna jawatan awam tort juga boleh digunakan terhadap Najib, sebagai seorang individu yang memegang jawatan awam atau sebagai pegawai awam.

Beliau berkata Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan menetapkan bahawa dakwaan boleh dikemukakan terhadap seorang pegawai awam dan ini akan termasuk dakwaan terhadap Perdana Menteri, yang merupakan seorang pegawai awam seperti ditetapkan dalam Akta itu.

Hakim Nallini berkata kerajaan boleh dipertanggungjawabkan berhubung tindakan seorang Perdana Menteri atau menteri yang lain bagi salah guna kedudukan pegawai awam tetapi sama ada tindakan itu berjaya atau tidak adalah berdasarkan fakta dan undang-undang dalam konteks Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan.

Mahkamah Tinggi menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Pua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai tahun lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, selepas menolak rayuannya (Pua). Beliau kemudiannya mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pua menyaman Najib dan kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Pua diwakili barisan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Tan Cheng Leong dan Surendra Ananth. Peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili kerajaan.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1791190&fbclid=IwAR2AuaM3HJQb3vaWSbvGFia0ygUA1VbI1wo4yYve90_TLuf18lS8ZzySzSA

‘Zahid Hamidi arah saya tandatangan cek kosong’zahid

Seorang bekas ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkannya menandatangani ‘cek kosong’ atas nama yayasan itu tanpa dimaklumkan tujuan kegunaan cek berkenaan.

Mohd Samsuri Tun, 66, yang kini ahli perniagaan berkata beliau hanya menandatangani cek-cek tersebut apabila diminta oleh Ahmad Zahid, yang merupakan seorang daripada pengasas Yayasan Akalbudi.

“Sepanjang masa saya menjadi ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi, saya telah menandatangani cek-cek daripada yayasan itu secara pratandatangan, namun saya tidak tahu apa kegunaan cek tersebut.

“Cek-cek yang saya tandatangani ada cek kosong,” katanya semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari kedua kes bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mohd Samsuri, yang juga bekas pengarah Yayasan Akalbudi berkata beliau tidak pernah terlibat dengan apa-apa aktiviti atas nama yayasan itu dan tidak pernah membincangkan mengenai aktiviti yang dilaksanakan oleh yayasan tersebut dengan Ahmad Zahid.

“Saya juga tidak pernah berbincang dengan Ahmad Zahid tentang perbelanjaan yang hendak dibuat dan perbelanjaan yang telah dibuat oleh Yayasan Akalbudi. Saya juga tidak pernah dirujuk dengan penyata akaun atau penyata kewangan yayasan tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan keempat itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak tahu Yayasan Akalbudi mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit kerana tiada akses kepada penyata bank dan yayasan berkenaan juga tidak pernah membentangkan penyata kewangan tahunannya.

Mohd Samsuri, yang merupakan rakan persekolahan dan turut menuntut di universiti sama dengan Ahmad Zahid berkata beliau juga diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk menandatangani surat peletakan jawatannya sebagai pengarah Yayasan Akalbudi pada 4 April 2012.

“Saya diminta untuk meletakan jawatan kerana pihak bank memaklumkan bahawa atas alasan peribadi, saya tidak boleh menandatangani cek Yayasan Akalbudi. Saya hanya menerima arahan untuk meletakkan jawatan kerana berpendapat saya tidak ada penglibatan dan pengetahuan mengenai perjalanan dan aktitivi yayasan,” katanya.

Kepada soalan peguam Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid bahawa peletakan jawatan itu bukan atas arahan anak guamnya tetapi saksi menerima notis bankrup daripada pihak bank, Mohd Samsuri menjawab: Betul, tetapi Ahmad Zahid adalah boss saya, apa arahan yang diberikannya saya ikut. Kalau dia kata saya boleh sambung jawatan pengarah tanpa beri kuasa tandatangan cek, saya terima.

Ahmad Zaidi: Kamu tahu jika terima notis bankrup, kamu tidak boleh menandatangani cek.  Ahmad Zahid tidak suruh kamu ‘berhenti’ kalau kamu tidak terima notis berkenaan.

Mohd Samsuri: Betul.

Kepada soalan Ahmad Zaidi adakah saksi itu tahu tujuan asal penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk amal jariah bagi membantu masyarakat, Mohd Samsuri menjawab: “Saya kurang pasti kerana sepanjang pengetahuan saya, yayasan ditubuhkan untuk mengutip dana bagi kegunaan Umno terutamanya kawasan Bagan Datuk dan untuk karier politik Ahmad Zahid.

Mohd Samsuri berkata beliau juga tidak tahu bahawa Ahmad Zahid memegang pelbagai jawatan tertinggi dalam beberapa buah syarikat termasuk Kretam Holdings Berhad.

Ahmad Zaidi: Adakah kamu tahu pada 1996 harga saham syarikat Kretam meningkat dari RM1 seunit kepada kepada RM15.70 seunit.

Mohd Samsuri: Tak pasti.

Saksi itu juga tidak tahu bahawa dengan kenaikan saham itu, Ahmad Zahid memperoleh keuntungan yang banyak dan menyalurkannya kepada Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zaidi: Adakah kamu tahu pendapatan bulanan  Ahmad Zahid pada 1996 adalah sebanyak RM120,000?

Mohd Samsuri: Ada kemungkinan.

Disoal Ahmad Zaidi adalah saksi tahu daripada RM120,000 itu hanya RM30,000 atau RM40,000 yang digunakan oleh Ahmad Zahid untuk tujuan peribadi, selebihnya dimasukkan ke dalam Yayasan Akalbudi, Mohd Samsuri menjawab: “Tidak pasti”.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– Bernama

https://www.malaysiakini.com/news/500433?fbclid=IwAR1J5JRcr_ui4bSdprSt9zn-9kS8dKX03QmGPyXwHbRiRb0jlYDyRcs4pFI