‘Salam’ bermaksud Isa Samad perlukan wang – Saksi

Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad Perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. – Foto Aswadi Alias

 

KUALA LUMPUR: Setiap kali Pegawai Khas kepada bekas Pengerusi FELDA, Mohd Isa Abdul Samad, iaitu Muhammad Zahid Mat Arip, menyampaikan ‘salam’ kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel memahami itu adalah satu petanda.

Ikhwan, 59, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ‘salam’ disampaikan menerusi panggilan menunjukkan Mohd Isa memerlukan wang dan ia akan diberikan menerusi Muhammad Zahid.

Saksi ke-16 itu berkata, Muhammad Zahid sekali sekala ada menghubunginya untuk menyampaikan ‘salam’ daripada Mohd Isa dan beliau memahami.

“Kali terakhir saya akur dengan permintaan dan serahkan wang kepada Muhammad Zahid adalah pada Julai 2014.

“Jadi, pada fahaman saya selepas menerima panggilan dan ‘salam’ ini, Muhammad Zahid perlukan wang untuk diberikan kepada Mohd Isa,” katanya.

Saksi ke-16 itu memaklumkan perkara itu ketika membaca keterangan saksi pada hari ke-10 bagi perbicaraan kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta dihadapi Mohd Isa bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ikhwan berkata, dalam tempoh Julai 2014 hingga Disember 2015 terdapat sembilan beg kertas diberikan kepada Muhammad Zaid menerusi sembilan pertemuan di beberapa lokasi.

Katanya, wang itu berjumlah RM3.09 juta dan setiap ‘salam’ bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000.

Berdasarkan pernyataan saksi, Ikhwan berkata setiap kali perjumpaan antara mereka hanya Muhammad Zahid datang bersendirian.

Katanya, setiap kali selepas dihubungi Muhammad Zahid, beliau akan menghubungi pemilik JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab bagi meminta wang tunai.

“Bayaran pertama pada pertemuan hujung Julai 2014, saya menyerahkan wang RM100,000 kepada Muhammad Zahid diberikan kepada Isa.

“Saya maklumkan kepada Muhammad Zahid, wang RM100,000 akan ditolak dari baki RM3 juta dijanjikan sebelum ini dan pendahuluan ini adalah duit saya sendiri.

“Bagi perjumpaan kedua saya berikan wang berjumlah RM140,000 dimasukkan dalam beg kertas lalu diserahkan kepadanya bagi pihak Mohd Isa,” katanya.

Saksi itu berkata, ‘salam’ ketiga dan keempat adalah pada Oktober dan November 2014 dan penyerahan wang masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM250,000.

“Bagi penyerahan wang seterusnya pada Jun dan Julai 2015, saya berikan wang tunai masing-masing RM500,000.

“Pengeluaran dan penyerahan wang Muhammad Zahid pada Ogos 2015 sebanyak RM300,000.

“Saya turut menyerahkan wang pada September 2015 dan ‘salam’ terakhir pada Disember 2015 masing-masing berjumlah RM500,000,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/621014/salam-bermaksud-isa-samad-perlukan-wang-saksi?fbclid=IwAR1mAQpTFmDuoqRCoHaO43DUtJ_KflHMYv8hO3Uc8u81UHTRvb6sC_2n1IU

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s