Tanah Rizab Melayu hilang Dibawah UmnoBN ?

lk_01 : DI SEBALIK pembangunan yang pesat masih adakah Tanah Rizab Melayu

DI SEBALIK pembangunan yang pesat masih adakah Tanah Rizab Melayu di situ?

(siri 1 Laporan Khas Tanah Rizab Melayu) TAHUN ini, genap 100 tahun kewujudan Tanah Rizab Melayu, sebuah perundangan yang diwartakan menerusi Enakmen Rizab Melayu 1913 bagi menjamin pemilikan tanah untuk kaum Melayu di Semenanjung Malaysia.

Namun selepas satu abad, iaitu sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari 1914, Tanah Rizab Melayu kini tidak pernah mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah di Semenanjung Malaysia sebaliknya hanya tinggal kira-kira 12 peratus sahaja.

Apa yang berlaku? Bagaimana Tanah Rizab Melayu boleh susut, sedangkan ia dilindungi undang-undang tanah di semua negeri malah undang-undang Persekutuan? Pihak mana yang perlu bertanggungjawab atas ‘kehilangan’ tanah-tanah tersebut? Ikuti Bahagian Pertama laporan khas oleh KAMIL MASLIH dan MOHD. AZRAIE MD. YUSOF mengenai isu penyusutan Tanah Rizab Melayu yang boleh mengancam kepentingan generasi anak Melayu pada masa hadapan.

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Wasiat raja-raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Perse­ku­­tuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 menetapkan nisbah 50 peratus tanah di negara ini diperuntukkan kepada Tanah Rizab Melayu. Tetapi hakikatnya kini setelah 57 tahun merdeka, ia menyusut kepada 12 peratus sahaja.

Penyelidikan yang dilakukan termasuk oleh pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Hasrol Haffiz Aliasak membongkar fakta penyusutan keluasan dan realiti terbaharu itu. Ia sesuatu yang mengejutkan dan pasti menggusarkan orang Melayu iaitu tentang Tanah Rizab Melayu, yang dilindungi untuk kepentingan anak cucu bangsa pribumi negara ini.

Satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu itu menyebut: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Amanat raja-raja Melayu itu dimaktubkan dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu dan melarang sebarang bentuk penjualan ataupun pajakan tanah itu kepada bukan Melayu.

Secara tidak langsung, ketetapan itu mengukuhkan kedudukan dan kuasa Enakmen Rizab Melayu yang telah wujud seawal tahun 1913 iaitu kira-kira 100 tahun dahulu bagi menjamin pemilikan tanah oleh orang Melayu di bumi milik nenek moyang sendiri.

Wasiat raja-raja Melayu nyata jauh daripada sasaran. Kajian pada 2009 mendapati keluasan tanah berkenaan hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Realitinya, kelemahan pengurusan di peringkat kerajaan negeri menyaksikan banyak tanah berstatus Tanah Rizab Melayu yang tidak diganti semula selepas dilupuskan statusnya.

Semakin hari semakin mengecil keluasan Tanah Rizab Melayu iaitu daripada keluasan 3.1 juta hektar (23.92 peratus) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99 peratus) pada tahun 2009.

Cukup menyedihkan, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu juga pernah mencatatkan angka yang cukup rendah iaitu 1.30 juta hektar (9.9 peratus) pada tahun 1983.

Mengambil contoh perbandingan berdasarkan negeri, Perak yang pada satu ketika pernah mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu sebanyak 1.4 juta hektar pada tahun 1921 telah menyusut kepada 309,051 hektar pada tahun 2009.

“Penyusutan berkali-kali ganda ini tidak hanya sebuah negeri sahaja, malah negeri-negeri seperti Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan lebih 50 peratus daripada jumlah asal yang diisytiharkan Tanah Rizab Melayu.

“Negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor telah menyumbangkan peningkatan jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu sebagaimana disaksikan dalam statistik tahun 1947 namun trend penurunan kemudiannya dapat dilihat di beberapa buah negeri,” kata Mohd. Hasrol Haffiz.

Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM.

Negeriseperti Kelantan, bagai­mana­pun, menunjukkan keluasan yang tinggi apabila mewartakan kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan tanahnya di bawah Tanah Rizab Melayu manakala negeri Johor pula memasukkan kesemua tanah Felda dan Felcra di bawah Tanah Rizab Melayu.

Kajian yang dilakukan terhadap negeri Terengganu mendapati, perolehan keluasan yang sedikit kerana negeri itu tidak hanya menggunakan Tanah Rizab Melayu tetapi juga Tanah Pegangan Melayu untuk melindungi kepentingan rakyat negeri tersebut.

Secara rumusannya, kajian beliau mendapati keluasan Tanah Rizab Melayu menunjukkan trend penyusutan ekoran terdapat banyak Tanah Rizab Melayu telah dibatalkan status untuk tujuan pembangunan dan penggantian tidak dilakukan secara serta-merta.

Sama ada melalui pelupusan tanah terhadap Tanah Rizab Melayu milik kerajaan ataupun pengambilan tanah terhadap tanah-tanah milik individu, banyak daripada Tanah Rizab Melayu itu tidak diganti semula seperti dikehendaki oleh enakmen berkenaan.

Perkara 89 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan antara lain meletakkan tanggungjawab kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan dengan suatu tanah lain yang sama jenis.

Kuasa pengisytiharan Tanah Rizab Melayu terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat dan perlu dibuat melalui warta kerajaan bertujuan mewujud, membatal, meminda had atau sempadan Tanah Rizab Melayu dan memasukkan tanah ke dalam kawasan tanah rizab sedia ada.

Penangguhan demi penangguhan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu menyebabkan trend penyusutan itu berterusan dan tidak mustahil perkara itu menggugat kepentingan generasi Melayu akan datang.

Amat menyedihkan sekiranya Pihak Berkuasa Negeri terus gagal mematuhi undang-undangnya sendiri iaitu wajib menggantikan mana-mana Tanah Rizab Melayu yang telah dikeluarkan daripada statusnya.

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/tanah-rizab-melayu-hilang-1.6455?fbclid=IwAR2Gxap77ICmTx-GcMBHop2kkQ_Febic5BbdtNQWXAHjnz2r9Ksuz0uJpa0

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: