Mengeluarkan Zakat daripada 
modal induk haram

1 HARAM PUASA 1MDB1 PARTI LANUN

 

SAYA mempunyai kemusykilan yang sekian lama bersarang di minda. Soalannya, apakah hukumnya apabila sebuah syarikat induk yang menjalankan perniagaan 100 peratus haram. Misalnya kilang arak dan pusat perjudian dan kemudiannya ia menubuhkan sebuah anak syarikat yang menjalankan penternakan ayam (iaitu halal 100 peratus). Apakah anak syarikatnya itu wajib menunaikan zakat perniagaan? Bukankah anak syarikat itu mendapat suntikan modal daripada induknya yang jelas haram perniagaannya? Harap penjelasan ustaz, terima kasih.

JAWAPAN

Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang terus memberikan kita kekuatan akal fikiran sehingga dapat terus berfikir demi kebaikan diri dan ummah keseluruhannya. Sesungguhnya, soalan yang dikemukakan oleh saudara ini amat besar faedahnya. Moga-moga saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memberikan jawapannya.

Sebenarnya, jauh sebelum saudara mengemukakan soalan ini, pihak pusat zakat memang ada menerima zakat dari syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan yang halal, namun diketahui juga bahawa induknya memang menjalankan perniagaan yang haram. Maka di sinilah timbulnya perbahasan ulama mengenai status harta yang diperoleh secara haram, kemudian diserahkan kepada pihak lain, apakah statusnya berkekalan haram atau tidak?

Sebelum itu, suka dinyatakan bahawa ulama sebenarnya membahagikan harta yang haram itu kepada dua cara memperolehnya:

  1. Haram dengan cara menzalimi orang, misalnya dengan merompak, menipu, riba, mencuri, memeras ugut dan meragut.
  2. Haram tetapi tanpa menzalimi orang, misalnya menjalankan perniagaan arak, perjudian, pelacuran, rasuah dan kelab disko.

Apakah kesannya daripada kedua-dua kaedah memperoleh harta haram berkenaan kepada zakat? Ya, hakikatnya memang ada kesannya dan ada hukumnya yang tersendiri. Bagi pihak yang mendapatkan harta melalui cara yang pertama, iaitu dengan cara menzalimi orang lain, maka harta yang diperolehnya itu adalah haram mutlak ke atas dirinya, malah haram juga diterima oleh orang lain jika mereka mengetahui ia adalah daripada hasil kezaliman.

Nabi Muhammad SAW menyatakan dengan jelas: Allah tidak menerima solat tanpa bersuci dan sedekah daripada pengkhianat (penzalim). (riwayat Imam Muslim)

Maka, orang yang mendapatkan harta dengan cara menzalimi orang lain, hakikatnya dia telah melakukan dua kejahatan. Pertama, mencari harta dengan cara haram dan kedua, menzalimi orang lain pula.

Harta yang diperoleh dengan cara seperti ini, tidak ada jalan lain kecuali hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya, kerana memang diketahui daripada siapa ia diperoleh.

Setelah dikembalikan atau diminta halal maka wajib bagi si penzalim meminta ampun kepada orang yang dizaliminya dan bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.

Sementara itu, bagi pihak yang mendapatkan harta dengan cara kedua, ada perbahasannya yang lebih panjang. Fuqaha menyatakan, harta berkenaan memang haram mutlak buat diri orang yang mendapatkannya, namun apabila dia memberikannya kepada orang lain, maka keharaman itu tidak pula berjangkit kepada pihak yang menerimanya.

Orang yang menerimanya, halal menikmatinya biarpun dia tahu asal harta itu diperoleh daripada sumber judi, riba dan arak.

Contohnya, si Abu mendapat wang dengan cara membuka disko (di dalam disko ada arak dan judi), kemudian si Abu memberikan wang hasil perniagaannya kepada si Ali atas dasar menjelaskan hutangnya. Maka halal bagi si Ali menikmati wang berkenaan, biarpun si Ali tahu wang itu berasal daripada hasil arak dan judi.

Kenapakah wang itu menjadi halal kepada si Ali; namun haram kepada si Abu? Harus diingat, haram kepada si Abu kerana sudah terang lagi bersuluh dia melakukan pekerjaan yang haram dan pastilah hasilnya juga adalah haram. Manakala bagi si Ali, dia menerima wang itu bukan atas dasar jual beli arak atau judi, tetapi atas dasar hutang. Si Abu membayar hutangnya, maka si Ali menerima hutang. Hutang adalah halal.

Haram kepada halal

Sebelum menamatkan jawapan ini, ingin dikemukakan sebuah hadis bagaimana suatu hari Nabi Muhammad SAW memakan kambing yang asalnya disedekahkan kepada Barirah, bekas hamba Aisyah rha. Perlu diingat, Nabi SAW dan seluruh keturunannya haram memakan sedekah.

Lalu, kenapakah Nabi memakan sedekah yang diberikan kepada Barirah tersebut? Bukankah ia haram kepada Nabi? Tidak lain, kerana Barirah yang menerima sedekah itu dan kemudiannya kala Barirah memberikannya kepada Nabi, Barirah telah memberikannya sebagai hadiah (berubah status kambing berkenaan, daripada haram kepada halal).

Lalu nabi menjelaskan: Untuk dia (Barirah adalah) sedekah, untuk kita (Nabi dan Aisyah adalah) hadiah (halal dimakan). (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ia menunjukkan, asal harta itu haram bagi Nabi, namun berubah menjadi halal apabila Barirah menukarnya daripada sedekah kepada hadiah. Asal harta bagi syarikat induk adalah haram (kerana terlibat dengan arak dan judi); namun ia menjadi halal di sisi anak syarikatnya kerana menjalankan perniagaan minyak angin. Apa yang diambil kira bukan sebelum itu, tetapi keadaan sekarang, iaitu perniagaannya yang halal.

Kesimpulannya, wajiblah zakat bagi mana-mana pihak yang menerima harta yang didasari pekerjaan yang halal, biarpun dia tahu dia dibayar oleh pihak sebelumnya daripada sumber yang haram.

Samalah seperti kakitangan awam yang tahu sumber perbendaharaan negara adalah bercampur antara segala macam yang halal dan haram, namun dia bekerja sebagai guru dan pekerjaannya adalah halal, maka wajiblah dia mengeluarkan zakat atas pendapatannya sebagai guru. Wallahua’lam.

Berbalik pada kes Ali yang disebutkan sebelum ini tadi, banyak sekali dalil yang boleh dikemukakan demi menguatkan hujah kehalalan bagi si Ali menerimanya. Antaranya, Allah SWT menyatakan di dalam surah al-An’am, ayat 164: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seseorang atau satu individu) melainkan dialah yang menanggung dosanya (sendiri) dan seseorang yang boleh memikul (dosa) tidak akan memikul dosa orang lain (pelakunya).

Jelas di sini, si Ali menerima hutang, itu hak Ali. Dia tidak akan dipertanggungjawabkan atas kejahatan dan dosa si Abu dalam mendapatkan wang untuk membayar hutangnya. Abu berdosa, Ali tidak.

Mungkin ada pihak yang berhujah, bukankah itu namanya seperti bersubahat atau bersekongkol dengan kejahatan? Bukankah sepatutnya jika si Ali sudah tahu si Abu mendapat wang dengan jalan yang haram, maka dia patut menolak wang itu agar si Abu mencari sumber yang lain? Jawapannya, tidak dinamakan subahat atau bersekongkol bagi Ali tatkala dia menerima hutangnya.

Namun, atas dasar Islam mencegah kemungkaran, maka wajiblah bagi si Ali membuat suatu tindakan agar pekerjaan haram si Abu dapat dihentikan. Misalnya, memberikan nasihat, teguran malah jika perlu meminta pihak berkuasa agama menutup perniagaan haram berkenaan.

Pendek kata, dia tidak boleh reda dengan pekerjaan si Abu, apatah lagi jika menggalakkannya pula. Jika dia menggalakkan Abu kekal bermaksiat, baharulah jadi subahat.

Maka, berbalik kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas tadi, bagaimanakah status zakat perniagaan sebuah syarikat yang halal 100 peratus (misalnya syarikat minyak angin) tetapi ditubuhkan oleh sebuah induk yang haram 100 peratus?

Dengan berpandukan dalil dan kaedah di atas, maka jelas bahawa zakat perniagaan yang dikeluarkan oleh syarikat penternakan itu adalah halal, hasil perniagaannya halal dan boleh diterima sebagai zakat perniagaan. Alasannya:

Wang yang haram hanya kepada induknya (kerana jelas perniagaannya haram), apabila berpindah kepada anak syarikat ia sudah berubah menjadi halal. Ertinya induk tidak boleh membayar zakat perniagaan, tetapi anak syarikatnya boleh.

Perniagaan yang dijalankan oleh anak syarikat adalah berbeza, iaitu halal maka halallah kesemua pendapatan anak syarikat itu dan halal jugalah zakatnya.

ZAKAT wajib dikeluarkan bagi sumber pendapatan yang halal, walaupun daripada sumber yang haram. – Gambar hiasan.

http://www.utusan.com.my/mega/agama/zakat-daripada-8232-modal-induk-haram-1.104325

Penafian: Semua Komen di bawah tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Utusan, ia merupakan pandangan peribadi penulis.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s