Datuk Abdul Hamid Bador : Tegas siasatan telus 1MDB punca ditukar

Image result for abdul hamid bador

Hamid: Tegas siasatan telus 1MDB punca ditukar

Zulaikha Zulkifli
 (Dikemaskini )

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, antara sebab beliau ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mungkin disebabkan kelantangannya meminta supaya siasatan telus dilakukan terhadap isu 1MDB.

Katanya, antara kemungkinan lain menjadi faktor beliau ditukar selepas 37 tahun berkhidmat di bahagian cawangan khas itu kerana beliau tidak mahu melaksanakan “agenda tertentu”.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maksud “agenda tertentu” itu.

“Mereka mungkin meragui taat setia saya untuk laksana agenda tertentu. Saya (bersikap) profesional dan apa yang saya siasat, itulah hasil siasatan.

“Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri.

“Mungkin juga (saya ditukar) kerana saya kerap kata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus,” katanya pada sidang medianya hari ini.

Pertukaran Abdul Hamid merupakan perubahan terkini yang berlaku dalam Cawangan Khas selepas Datuk Mohamad Fuzi Harun menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat selaku pengarah cawangan khas.

Mengulas mengenai pertukarannya, Abdul Hamid berkata beliau dipanggil berjumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Bukit Aman, dua minggu sebelum surat pertukaran dikeluarkan.

Dalam pertemuan itu, Abdul Hamid berkata beliau diberi dua pilihan sama ada ditukarkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau JPM.

Pilihan itu dibuat selepas pertemuan Zahid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Abdul Hamid lagi.

“Saya dipanggil masuk dan dia sampaikan bahawa perdana menteri beri saya dua pilihan sama ada ditukarkan ke MKN atau JPM.

“Saya tergamam dan terkejut. Saya termenung sejenak. Berat betul hukuman saya terima sampai kena keluar dari PDRM, saya berkata dalam hati.

“Macam seolah-olah saya lakukan dosa besar dan tak boleh diampunkan sampai kena dijinak di luar PDRM,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata beliau masih belum lagi memutuskan sama ada akan melapor diri di JPM pada 17 September depan kerana jawatan timbalan pengarah isu-isu keselamatan dan transnasional yang ditawarkan belum tersedia.

“Yang hairannya jawatan yang ditawarkan kepada saya itu belum lagi tersedia dan pihak JPM masih lagi berbincang dengan JPA,” katanya lagi.

https://m.malaysiakini.com/news/309575

2 thoughts on “Datuk Abdul Hamid Bador : Tegas siasatan telus 1MDB punca ditukar”

  1. Bersama memburu penjenayah yang menggunakan kekayaan negara untuk kepentingan peribadi dan politik umnopas.

    Liked by 1 person

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan